Islam sebagai agama rasmi Kerajaan Malaysia, tidak seharusnya
menjadi sekadar slogan yang dilaung-laungkan. UMNO-BN sebenarnya tidak pernah
serius memperjuangkan Islam, sekalipun untuk meletakkannya pada kedudukan agama
rasmi Malaysia.
Sikap berdiam diri para pemimpin UMNO-BN terhadap kenyataan
biadab Datuk Seri Dr Chua Soi Lek sebenarnya telah dijangka, bahkan mereka
sendiri terbukti senada dan selaras dengan ucapan Presiden MCA. UMNO-BN
sebenarnya bukan sahaja gagal mendidik parti komponen Barisan Nasional untuk
menghormati Islam sebagai agama rasmi, bahkan mereka adalah sebab dan alasan
sebenar di sebalik penghinaan dan penolakan masyarakat Malaysia terhadap Islam
dan syariatnya. Buktinya, Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Seri Mohd Najib Tun
Abdul Razak sendiri secara terang-terangan menolak pelaksanaan undang-undang
hudud di Malaysia.
Walaupun begitu, kenyataan Dr Chua Soi Lek sebenarnya
terlalu biadab, melampau dan sama sekali tidak menghormati sensitiviti umat Islam
di Malaysia. Kenyataannya, benar-benar telah mengguris hati rakyat Malaysia
yang beragama Islam. Jika masih ada umat Islam yang tidak mempunyai apa-apa
perasaan terhadap kenyataan biadab Chua Soi Lek, barangkali mereka sendiri
belum benar-benar menerima Islam sebagai cara hidup dan pegangan dalam
kehidupan.
Tindakan menghina Islam oleh MCA juga menampakkan bahawa
UMNO semakin lemah, khususnya dalam membela nasib umat Islam dan bangsa Melayu.
UMNO juga dilihat terdesak mahu menarik sokongan masyarakat bukan Melayu
sehingga sanggup menggadaikan prinsip dengan membiarkan agama sendiri dihina.
Islam bukanlah ajaran
rekaan para Nabi dan Rasul, apalagi rekaan Tuan-tuan guru mahupun Ahli Feqah. Sebaliknya
Islam adalah agama yang diturunkan oleh Allah kepada para Nabi dan Rasul.
Disampaikan dan dikembangkan oleh para Sahabat, sehinggalah ke hari ini.
Generasi terdahulu telah bersusah payah menyampaikan Islam, sehingga ianya
benar-benar tulen dan tidak diselewengkan. Menentang Islam, bermakna menentang
Allah. Menghina Islam, bermakna menghina Allah.
Ini adalah perkara asas yang perlu difahami oleh pemimpin
UMNO-BN yang mengaku dirinya beragama Islam, dan mahu memperjuangkan Islam di
Malaysia. Sebagai umat Islam, wajib kita membela agama daripada dihina ataupun
diselewengkan daripada kefahaman yang sebenar. Semoga Allah memberikan taufiq,
hidayah dan inayahNya untuk terus berjuang membela dan menyampaikan Islam
dengan kefahaman yang murni, indah dan sejahtera.
Ustaz
Muhammad Ismi Mat Taib.
Penolong
Setiausaha Dewan Ulama Pas Pusat.