Wednesday, November 14, 2012

Polemik Kebebasan Agama, Antara hujah dan perintah.


Isu kebebasan beragama sewajarnya dilihat dalam konteks yang lebih murni dan sejahtera. Sesuai dengan pengertian Islam yang membawa maksud sejahtera, maka segala perselisihan pendapat dan kefahaman mengenainya pasti boleh diselesaikan dengan cara yang murni dan sejahtera. Allah Ta'ala mendidik hambaNya supaya hidup berteraskan Aqidah yang sempurna. Namun, aqidah yang sempurna ini dipupuk berasaskan kepada ilmu, dan sumber utama ilmu di dalam Islam ialah Al-Quran dan As-Sunnah.

Tuntutan "Bacalah" dijadikan perintah pertama oleh Allah Ta'ala kepada Nabi Muhammad SAW sebagai menunjukkan kepentingan ilmu dan menunjukkan Al-Quran sebagai bahan bacaan utama yang perlu dihadam oleh umat Islam. Jelas menunjukkan di sini, bahawa Islam ialah agama yang berteraskan hujah dan keterangan. Islam mementingkan ilmu, maka Al-Quran sebagai sumber utama ilmu dalam Islam dipelihara oleh Allah Ta'ala segala isi kandungannya sehingga ke hari ini.

Kita harus percaya dan yakin, bahawa Islam mempunyai segala solusi, penyelesaian kepada setiap masalah yang melanda umat manusia seluruhnya. Dalam bidang ekonomi, Islam melarang urusan yang melibatkan riba, juga menghalang umat Islam terlibat dengan judi dan rasuah, kerana urusan yang mengandungi unsur riba, kegiatan judi dan perbuatan rasuah bersifat menindas dan cenderung kepada kerosakan, bukan sahaja pada diri, keluarga, masyarakat malah negara.

Penganut agama Buddha yang majoriti di kalangan mereka berbangsa Cina sendiri tidak setuju jika judi dikaitkan dengan bangsa Cina, kerana mereka sendiri tidak suka dengan kegiatan tersebut. Maka, jika Islam melarang umatnya berjudi, sememangnya adalah kerana kegiatan judi boleh merosakkan dan menghancurkan.

Ini adalah contoh, betapa Islam sebenarnya datang untuk mentadbir urusan manusia dengan hujah dan pasti dapat diterima oleh akal dan fitrah kejadian manusia.

Dalam isu kebebasan beragama juga, Islam bukanlah agama yang bersifat autokratik ataupun diktator sehingga memaksa penganut agama lain menerima Islam secara paksa. Bahkan, penerapan nilai Islam dan ajarannya juga perlu dilakukan secara beransur-ansur dan dengan penuh hikmah kebijaksanaan. 

Segala titah dan perintah oleh Allah Ta'ala kepada umat Islam wajib dilaksanakan begitu juga segala tegahan dan larangan pula wajib ditinggalkan dengan penuh kesedaran serta didasari hujah yang jelas dan nyata. Dalam Islam, kita dilarang untuk bertaqlid buta, sebagai bukti bahawa Islam sangat mengutamakan Ilmu. Ilmu adalah sumber kepada kepercayaan dan aqidah yang sejahtera.

Kita harus bersikap optimis terhadap kemampuan Islam untuk berhujah atas dasar kebenaran dalam soal kebebasan beragama dengan masyarakat bukan Islam. Dalam masa yang sama, kita tidak boleh memaksa masyarakat bukan Islam, hatta masyarakat Islam sekalipun untuk menerima hujah yang kita kemukakan kerana Islam bukan agama paksaan.

Gejala murtad yang berlaku, tidak akan dapat diselesaikan dengan sekadar menetapkan akta dan peraturan jika perkara asas iaitu pendidikan agama tidak dititikberatkan. Gejala murtad berleluasa bukan kerana kelonggaran dalam akta dan peraturan, tetapi kerana kegagalan fungsi asas pendidikan agama di kalangan umat Islam di Malaysia. Persoalan pendidikan inilah yang perlu diberikan perhatian serius oleh semua pihak.

Jika kita sendiri tidak faham mengenai asas agama, bagaimana kita ingin mempertahankannya? Polemik isu murtad dan kebebasan agama sebenarnya bukan perkara baru, namun seringkali ia dibangkitkan oleh pihak-pihak yang berkepentingan untuk meraih sokongan atau membangkitkan emosi umat Islam. Sudahnya, jadilah kita ibarat menang sorak, kampung digadaikan.

Mohd Farid Bin Hamlud
Parit Care.