Tuesday, October 23, 2012

UMNO Penggalak Aktiviti Menghina Islam.




Islam sebagai agama rasmi Kerajaan Malaysia, tidak seharusnya menjadi sekadar slogan yang dilaung-laungkan. UMNO-BN sebenarnya tidak pernah serius memperjuangkan Islam, sekalipun untuk meletakkannya pada kedudukan agama rasmi Malaysia.

Sikap berdiam diri para pemimpin UMNO-BN terhadap kenyataan biadab Datuk Seri Dr Chua Soi Lek sebenarnya telah dijangka, bahkan mereka sendiri terbukti senada dan selaras dengan ucapan Presiden MCA. UMNO-BN sebenarnya bukan sahaja gagal mendidik parti komponen Barisan Nasional untuk menghormati Islam sebagai agama rasmi, bahkan mereka adalah sebab dan alasan sebenar di sebalik penghinaan dan penolakan masyarakat Malaysia terhadap Islam dan syariatnya. Buktinya, Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak sendiri secara terang-terangan menolak pelaksanaan undang-undang hudud di Malaysia.

Walaupun begitu, kenyataan Dr Chua Soi Lek sebenarnya terlalu biadab, melampau dan sama sekali tidak menghormati sensitiviti umat Islam di Malaysia. Kenyataannya, benar-benar telah mengguris hati rakyat Malaysia yang beragama Islam. Jika masih ada umat Islam yang tidak mempunyai apa-apa perasaan terhadap kenyataan biadab Chua Soi Lek, barangkali mereka sendiri belum benar-benar menerima Islam sebagai cara hidup dan pegangan dalam kehidupan.

Tindakan menghina Islam oleh MCA juga menampakkan bahawa UMNO semakin lemah, khususnya dalam membela nasib umat Islam dan bangsa Melayu. UMNO juga dilihat terdesak mahu menarik sokongan masyarakat bukan Melayu sehingga sanggup menggadaikan prinsip dengan membiarkan agama sendiri dihina.

Islam bukanlah  ajaran rekaan para Nabi dan Rasul, apalagi rekaan Tuan-tuan guru mahupun Ahli Feqah. Sebaliknya Islam adalah agama yang diturunkan oleh Allah kepada para Nabi dan Rasul. Disampaikan dan dikembangkan oleh para Sahabat, sehinggalah ke hari ini. Generasi terdahulu telah bersusah payah menyampaikan Islam, sehingga ianya benar-benar tulen dan tidak diselewengkan. Menentang Islam, bermakna menentang Allah. Menghina Islam, bermakna menghina Allah.

Ini adalah perkara asas yang perlu difahami oleh pemimpin UMNO-BN yang mengaku dirinya beragama Islam, dan mahu memperjuangkan Islam di Malaysia. Sebagai umat Islam, wajib kita membela agama daripada dihina ataupun diselewengkan daripada kefahaman yang sebenar. Semoga Allah memberikan taufiq, hidayah dan inayahNya untuk terus berjuang membela dan menyampaikan Islam dengan kefahaman yang murni, indah dan sejahtera.

Ustaz Muhammad Ismi Mat Taib.
Penolong Setiausaha Dewan Ulama Pas Pusat.

No comments:

Post a Comment