Friday, December 28, 2012

TPM Biadap dan tidak hormat Demokrasi



Pilihanraya sebenarnya bukanlah hak milik parti Pemerintah sekalipun mereka bertanggungjawab mentadbir dan menguruskan kerajaan. Sebaliknya, pilihanraya adalah hak rakyat, maka menjadi tanggungjawab setiap pentadbir dan pemimpin dalam negara untuk menghormati dan menguruskan hak rakyat dengan sebaik mungkin. 

Tindakan menyembunyikan tarikh pilihanraya itu sendiri sudah dianggap mencabul prinsip demokrasi, apalagi menjadikan ianya sebagai teka-teki. Kenyataan Tan Sri Muhyidin Yasin bahawa tarikh pilihanraya dijadikan mainan dan alat untuk menggembirakan hati adalah satu kenyataan yang sangat biadap dan celupar. Beliau seharusnya sedar bahawa penangguhan tarikh Pilihanraya ini sebenarnya telah menjejaskan aktiviti tahunan rakyat Malaysia. 

Mungkin beliau terlupa bahawa ada yang sanggup menangguhkan ibadah haji, menunda tarikh kenduri, dan pelbagai aktiviti tergendala sepanjang tahun 2012 gara-gara tindakan UMNO-BN yang tidak demokratik kerana menyembunyikan tarikh pilihanraya. Seolah-olah, mereka mempunyai kuasa mutlak dalam mengawal dan menentukan pilihanraya. 

Beliau seharusnya menarik balik kenyataan beliau. Sekalipun UMNO-BN begitu takut untuk menghadapi pilihanraya, menjadikan tarikh pilihanraya sebagai teka-teki dan mempersendakan rakyat dengan menyembunyikan tarikh pilihanraya adalah satu tindkan yang biadap dan amat tidak boleh diterima. 

Ustaz Haji Muhammad Ismi Bin Hj Mat Taib 
Penolong Setiausaha Dewan Ulama’ Pas Malaysia.