Umum mengetahui kebobrokan UMNO-BN dan tindakan jahat yang mereka lakukan ke atas kepentingan orang Melayu, Agama Islam, malah institusi DIRaja. Namun, UMNO sebenarnya lebih teruk daripada itu, mereka sedang menjerumuskan Negara ke lembah kebinasaan.
Tidakkah kita tertanya, mengapa golongan cerdik pandai, dan mereka yang duduk di kawasan Bandar, dan kawasan-kawasan yang membangun, kebanyakannya memilih Pakatan Rakyat? 11 daripada 14 ibu kota negeri-negeri yang ada di Malaysia, dimenangi oleh Pakatan Rakyat dalam PRU-12. Keputusan ini sebenarnya mengundang pelbagai tafsiran. Paling menggambarkan situasi pengundi di Ibu Kota ialah mereka yang memiliki akses terhadap maklumat.
Pengundi di kawasan Bandar dan kawasan-kawasan yang pesat membangun mempunyai alternative yang luas terhadap maklumat. Mereka tidak mudah diperbodohkan oleh media berat sebelah oleh pembangkang mahupun kerajaan. Dalam era teknologi maklumat yang pesat membangun, rakyat terdedah kepada maklumat yang benar dan banyak.
Jika dahulu, mungkin tidak ramai yang tahu fungsi Jabatan Audit Negara, maka tidak ramai yang memberikan tumpuan terhadapnya. Kini, Jabatan Audit Negara menjadi antara senjata utama yan digunakan untuk menghukum pihak yang menyalahgunakan kuasa dan kepentingan.
Mungkin UMNO-BN sudah lupa mengenai bagaimanakah yang dikatakan dengan Urustadbir Negara yang berkesan. Mereka kini lebih kerap menggunakan media untuk mengaburi mata rakyat, namun mereka lupa bahawa rakyat mempunyai “telinga” dan “mata” yang tersendiri untuk melihat dan mendengar apakah sebenarnya yang telah, sedang dan apa pula yang sepatutnya terjadi.
Urustadbir kerajaan di bawah kepimpinan Melayu UMNO-BN sangat lemah kerana mereka tidak pernah belajar dari kesilapan. Bukankah cendekiawan pernah mengingatkan, kita tidak boleh mengharapkan hasil yang berbeza untuk usaha yang sama. Begitulah UMNO-BN, masih dengan taktik lapuk dan kunonya, kononnya cuba membutakan dan memekakkan rakyat.
Rakyat tidak mudah tertipu dengan sogokan RM500, sedangkan mereka sedar bahwa mereka sedang menanggung ribuan hutang yang disebabkan oleh kegagalan urustadbir Negara. Rakyat tidak mudah dikaburkan dengan keenakan slogan Transformasi, ketika kezaliman jentera penguatkuasa kerajaan begitu jelas terasa dan kelihatan.
Bagaimanakah rakyat ingin berasa selesa berada di sebuah Negara yang sama sekali tidak mendaulatkan undang-undang, apabila undang-undang hanya berkesan terhadap rakyat dan dolongan bawahan, tetapi tidak lut kepada pimpinan atasan. Rakyat masih menunggu jawapan daripada pembanteras jenayah rasuah Negara terhadap isu National FeedLot yang menelan RM250juta duit mereka. Dimanakah nilai kedaulatan undang-undang di sisi pemimpin UMNO-BN?
Ketika ratusan ribu berhimpun di ibu kota, untuk kali ke-tiga, menyatakan pandangan dan memohon supaya diadakan pilihanraya yang adil dan bersih, ke manakah telinga pemimpin UMNO-BN yang sepatutnya menjadi tempat luahan hati rakyat? Apakah ratusan ribu yang berhimpun itu bukan rakyat Malaysia, atau telinga UMNO-BN hanya untuk Melayu, atau mungkin UMNO-BN telah dipekakkan oleh laungan transformasi yang mereka bangga-banggakan?
JIka UMNO-BN sudah tidak mempunyai ingatan yan baik, eloklah saya ingatkan, bahawa tadbir urus yang baik mempunyai 8 ciri-ciri utama. Ia adalah penyertaan, berorientasikan konsensus, bertanggungjawab, telus, responsif, berkesan dan cekap, saksama dan inklusif serta mematuhi kedaulatan undang-undang. Ia menjamin bahawa rasuah diminimakan, pandangan kaum minoriti diambil kira dan bahawa suara-suara yang paling lemah dalam masyarakat didengar dalam membuat keputusan. Ia juga responsif kepada keperluan masa kini dan masa depan masyarakat.
Melihat kepada ciri-ciri urus tadbir yang baik, tiada satu pun yang boleh dicontohi daripada kepimpinan UMNO-BN. Semuanya adalah slogan-slogan sumbang, yang rupanya tidak seindah apa yang dikhabarkan.
Justeru, pandangan yang dilontarkan oleh Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang, Presiden PAS, terhadap orang Melayu wajar disambut dengan baik oleh kesemua rakyat Malaysia. Orang Melayu menjadi sasaran utama terhadap seruan perubahan ketika ini, kerana malang sekali, UMNO masih bebas melakukan kerosakan kerana “keris melayu” masih memberikan sokongan.
No comments:
Post a Comment