Thursday, July 16, 2015

Lebaran dengan harapan.

Lebaran dengan harapan.

Ketika krisis dalaman PAS sedang membuak-buak, ketika itu lebih kurang setahun sebelum pemilihan, ramai yang menyangka perbalahan ini akan selesai selepas berakhirnya pemilihan. Rupa-rupanya jangkaan itu meleset, bahkan perkara yang tidak diingini oleh semua pihak dilihat seolah-olah pasti akan berlaku.

Saya juga pernah dilabel sebagai tidak jelas fikrah, tidak ikhlas, tidak wala' dan terpedaya dengan ideologi liberal, plural dan sekular. Saya sedih. Saya tidak membela diri, dan saya biarkan mereka yang suka melabel ini seperti luncai, terjun dengan labu-labunya. Saya bukan berada di dalam Pas kerana mereka. Bahkan Pas ini bukan milik individu. Ulama dan pejuang-pejuang terdahulu mengasaskan PAS ini agar ia menjadi wadah umat Islam Malaysia menegakkan Islam dalam diri, masyarakat dan negara.

Dalam masa yang sama, saya cuba mengikuti perkembangan mengambil kira setiap pandangan dari setiap pihak yang terlibat. Saya musykil dengan keperluan mengadakan wadah baru. Pandangan kita jika tidak diterima, tidak boleh dijadikan alasan untuk berpaling, ini yang diajarkan oleh guru-guru saya dalam Pas. Malah mereka yang dahulunya mengajar saya untuk berjiwa besar, menunjukkan sikap yang sebaliknya.

Sekarang, isu telah beralih daripada pengukuhan Pakatan Rakyat kepada isu inklusif vs eksklusif. Seorang maestro dalam tarbiyah baru-baru ini turut menukilkan pandangan yang panjang, cuba memperlihatkan kerosakan sistem perkaderan yang kononnya sudah tidak dapat dirawat. Saya musykil, kerana sepanjang saya bersama-sama dalam perkaderan Mahasiswa sudah agak lama modul khas "wala" tidak diadakan. Bermakna, mungkin sudah agak lama ustaz tersebut tidak terlibat dalam perkaderan. Sebaiknya, kita tidak mengulas sesuatu yang kita tidak terlibat, atau kurang pengetahuan mengenainya.

Saya hormat ustaz tersebut, bahkan pandangan beliau sentiasa dijadikan antara rujukan kami dalam melaksanakan program perkaderan. Usaha beliau sebelum ini tidak sia-sia. Tarbiyah sifatnya berkembang dan dinamik. Perubahan dan penambahbaikan dalam kaedah sentiasa diperlukan.

Kita sama sekali tidak boleh mendakwa cara kita sahaja yang berkesan. Inilah uniknya tarbiyah Islam, kekurangan dan kelebihan dikongsi dan ditampung bersama.

Saya rasa tidak kurangnya politik. Kelebihan dan kekurangan mesti dikongsi bersama. Saya cuma berada dalam bahagian kecil keluarga Pas yang besar. Saya rasa tidak wujud penafian hak untuk bergerak kerja, sebaliknya satu-satunya batas yang wujud ialah kerajinan atau kemalasan kita bergerak kerja dan berinisiatif. Kita yang tidak bergerak, kenapa disalahkan orang yang kononnya menghalang? Idea kita, sewajarnya kitalah yang gerakkan. Orang itu tak terima, pasti ada orang lain yang akan terima. Kalau kita benar dan ikhlas, kebenaran pasti akan terserlah kalaupun bukan kita yang membawanya.

Saya sama sekali tidak layak menyatakan pandangan saya apalagi nak menasihati rakan-rakan saya untuk tidak meneruskan niat menyertai GHB. Saya hanya boleh berharap agar kesudahan yang baik bagi semua, mudah-mudahan kita semua diberkati. Siru 'Ala barakatillah.

Sempena lebaran ini, saya mengucapkan selamat hari raya aidilfitri maaf zahir dan batin.. taqabbalaLlahu minni wa minkum...

No comments:

Post a Comment