Thursday, July 16, 2015

Lebaran dengan harapan.

Lebaran dengan harapan.

Ketika krisis dalaman PAS sedang membuak-buak, ketika itu lebih kurang setahun sebelum pemilihan, ramai yang menyangka perbalahan ini akan selesai selepas berakhirnya pemilihan. Rupa-rupanya jangkaan itu meleset, bahkan perkara yang tidak diingini oleh semua pihak dilihat seolah-olah pasti akan berlaku.

Saya juga pernah dilabel sebagai tidak jelas fikrah, tidak ikhlas, tidak wala' dan terpedaya dengan ideologi liberal, plural dan sekular. Saya sedih. Saya tidak membela diri, dan saya biarkan mereka yang suka melabel ini seperti luncai, terjun dengan labu-labunya. Saya bukan berada di dalam Pas kerana mereka. Bahkan Pas ini bukan milik individu. Ulama dan pejuang-pejuang terdahulu mengasaskan PAS ini agar ia menjadi wadah umat Islam Malaysia menegakkan Islam dalam diri, masyarakat dan negara.

Dalam masa yang sama, saya cuba mengikuti perkembangan mengambil kira setiap pandangan dari setiap pihak yang terlibat. Saya musykil dengan keperluan mengadakan wadah baru. Pandangan kita jika tidak diterima, tidak boleh dijadikan alasan untuk berpaling, ini yang diajarkan oleh guru-guru saya dalam Pas. Malah mereka yang dahulunya mengajar saya untuk berjiwa besar, menunjukkan sikap yang sebaliknya.

Sekarang, isu telah beralih daripada pengukuhan Pakatan Rakyat kepada isu inklusif vs eksklusif. Seorang maestro dalam tarbiyah baru-baru ini turut menukilkan pandangan yang panjang, cuba memperlihatkan kerosakan sistem perkaderan yang kononnya sudah tidak dapat dirawat. Saya musykil, kerana sepanjang saya bersama-sama dalam perkaderan Mahasiswa sudah agak lama modul khas "wala" tidak diadakan. Bermakna, mungkin sudah agak lama ustaz tersebut tidak terlibat dalam perkaderan. Sebaiknya, kita tidak mengulas sesuatu yang kita tidak terlibat, atau kurang pengetahuan mengenainya.

Saya hormat ustaz tersebut, bahkan pandangan beliau sentiasa dijadikan antara rujukan kami dalam melaksanakan program perkaderan. Usaha beliau sebelum ini tidak sia-sia. Tarbiyah sifatnya berkembang dan dinamik. Perubahan dan penambahbaikan dalam kaedah sentiasa diperlukan.

Kita sama sekali tidak boleh mendakwa cara kita sahaja yang berkesan. Inilah uniknya tarbiyah Islam, kekurangan dan kelebihan dikongsi dan ditampung bersama.

Saya rasa tidak kurangnya politik. Kelebihan dan kekurangan mesti dikongsi bersama. Saya cuma berada dalam bahagian kecil keluarga Pas yang besar. Saya rasa tidak wujud penafian hak untuk bergerak kerja, sebaliknya satu-satunya batas yang wujud ialah kerajinan atau kemalasan kita bergerak kerja dan berinisiatif. Kita yang tidak bergerak, kenapa disalahkan orang yang kononnya menghalang? Idea kita, sewajarnya kitalah yang gerakkan. Orang itu tak terima, pasti ada orang lain yang akan terima. Kalau kita benar dan ikhlas, kebenaran pasti akan terserlah kalaupun bukan kita yang membawanya.

Saya sama sekali tidak layak menyatakan pandangan saya apalagi nak menasihati rakan-rakan saya untuk tidak meneruskan niat menyertai GHB. Saya hanya boleh berharap agar kesudahan yang baik bagi semua, mudah-mudahan kita semua diberkati. Siru 'Ala barakatillah.

Sempena lebaran ini, saya mengucapkan selamat hari raya aidilfitri maaf zahir dan batin.. taqabbalaLlahu minni wa minkum...

Wednesday, January 9, 2013

Kerajaan UMNO-BN Punca Polemik Isu Kalimah Allah dan Amanat Haji Hadi.


Kekeliruan yang timbul di kalangan rakyat terhadap isu penggunaan kalimah Allah di dalam kitab Bible dan juga kekeliruan ahli-ahli UMNO terhadap ”Amanat Haji Hadi” sebenarnya berpunca daripada amalan pentadbiran Kerajaan UMNO-Barisan Nasional yang korup dan tidak demokratik. 

Isu ini tidak seharusnya diperpanjangkan jika rakyat dan semua pihak yang terlibat menerima penjelasan dan penerangan daripada pihak yang terlibat secara telus dan secara langsung. Malangnya, pihak yang tidak sealiran dengan Kerajaan akan dipinggirkan malah menjadi mangsa keadaan disebabkan oleh tindakan bias dan tidak demokratik yang diamalkan oleh Kerajaan Barisan Nasional. 

Sebagai Negara yang mengamalkan prinsip demokrasi, sewajarnya isu ini boleh diperjelaskan secara terbuka, dengan mengemukakan penjelasan daripada pihak-pihak yang terlibat. Supaya, rakyat boleh membuat pertimbangan yang wajar. Demokrasi bererti setiap rakyat mempunyai hak untuk bersuara dan menyatakan pendirian masing-masing. Maka, hak ini dikawal oleh perlembagaan dan undang-undang yang berteraskan nilai dan keadilan. 

Presiden PAS, Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang seharusnya diberikan ruang untuk memberikan penjelasan kerana kekeliruan ini bermula daripada amanat yang beliau keluarkan pada tahun 1991. Maka, beliaulah selayaknya memberikan penjelasan. Apabila saban hari dan waktu, media memainkan isu “amanat haji hadi”, dan menuduh amanat tersebut “mengkafirkan” orang UMNO, Tuan Guru berhak diberikan peluang untuk memberikan penjelasan. 

Atas prinsip demokrasi dan keadilan, seseorang itu tidak boleh terus dihukum tanpa terlebih dahulu dibuktikan bersalah. Tindakan dolak-dalik Menteri Penerangan dan JAKIM adalah sangat tidak demokratik dan zalim terhadap Presiden Parti Politik yang berdaftar secara sah mengikut undang-undang tubuh persatuan dan pertubuhan di Malaysia. 

Begitu juga isu penggunaan Kalimah Allah di dalam kitab Bible. Penjelasan oleh pihak yang berkepentingan terhadap isu ini perlu diadakan secara terbuka. Hanya dengan cara inilah penilaian yang telus dan tepat dapat dibuat oleh rakyat. Malangnya, sekali lagi UMNO menggunakan isu ini untuk menaikkan emosi umat Islam, secara korup dan tidak demokratik membangkitkan kemarahan dan mengganggu pemikiran rakyat. Rakyat yang masih keliru tidak diberikan penjelasan, sebaliknya mereka yang bertindak secara emosi diberikan liputan yang meluas dalam media arus perdana. 

Keadaan ini akan bertambah keruh, sekiranya UMNO-Barisan Nasional tidak mahu bertindak secara matang, dan mengembalikan prinsip demokrasi ke dalam kaedah dan amalan pentadbiran Negara. 



Ustaz Hj Muhammad Ismi Bin Hj Mat Taib 
Penolong Setiausaha Dewan Ulama’ Pas Malaysia.

Friday, December 28, 2012

TPM Biadap dan tidak hormat Demokrasi



Pilihanraya sebenarnya bukanlah hak milik parti Pemerintah sekalipun mereka bertanggungjawab mentadbir dan menguruskan kerajaan. Sebaliknya, pilihanraya adalah hak rakyat, maka menjadi tanggungjawab setiap pentadbir dan pemimpin dalam negara untuk menghormati dan menguruskan hak rakyat dengan sebaik mungkin. 

Tindakan menyembunyikan tarikh pilihanraya itu sendiri sudah dianggap mencabul prinsip demokrasi, apalagi menjadikan ianya sebagai teka-teki. Kenyataan Tan Sri Muhyidin Yasin bahawa tarikh pilihanraya dijadikan mainan dan alat untuk menggembirakan hati adalah satu kenyataan yang sangat biadap dan celupar. Beliau seharusnya sedar bahawa penangguhan tarikh Pilihanraya ini sebenarnya telah menjejaskan aktiviti tahunan rakyat Malaysia. 

Mungkin beliau terlupa bahawa ada yang sanggup menangguhkan ibadah haji, menunda tarikh kenduri, dan pelbagai aktiviti tergendala sepanjang tahun 2012 gara-gara tindakan UMNO-BN yang tidak demokratik kerana menyembunyikan tarikh pilihanraya. Seolah-olah, mereka mempunyai kuasa mutlak dalam mengawal dan menentukan pilihanraya. 

Beliau seharusnya menarik balik kenyataan beliau. Sekalipun UMNO-BN begitu takut untuk menghadapi pilihanraya, menjadikan tarikh pilihanraya sebagai teka-teki dan mempersendakan rakyat dengan menyembunyikan tarikh pilihanraya adalah satu tindkan yang biadap dan amat tidak boleh diterima. 

Ustaz Haji Muhammad Ismi Bin Hj Mat Taib 
Penolong Setiausaha Dewan Ulama’ Pas Malaysia.

Wednesday, November 14, 2012

Polemik Kebebasan Agama, Antara hujah dan perintah.


Isu kebebasan beragama sewajarnya dilihat dalam konteks yang lebih murni dan sejahtera. Sesuai dengan pengertian Islam yang membawa maksud sejahtera, maka segala perselisihan pendapat dan kefahaman mengenainya pasti boleh diselesaikan dengan cara yang murni dan sejahtera. Allah Ta'ala mendidik hambaNya supaya hidup berteraskan Aqidah yang sempurna. Namun, aqidah yang sempurna ini dipupuk berasaskan kepada ilmu, dan sumber utama ilmu di dalam Islam ialah Al-Quran dan As-Sunnah.

Tuntutan "Bacalah" dijadikan perintah pertama oleh Allah Ta'ala kepada Nabi Muhammad SAW sebagai menunjukkan kepentingan ilmu dan menunjukkan Al-Quran sebagai bahan bacaan utama yang perlu dihadam oleh umat Islam. Jelas menunjukkan di sini, bahawa Islam ialah agama yang berteraskan hujah dan keterangan. Islam mementingkan ilmu, maka Al-Quran sebagai sumber utama ilmu dalam Islam dipelihara oleh Allah Ta'ala segala isi kandungannya sehingga ke hari ini.

Kita harus percaya dan yakin, bahawa Islam mempunyai segala solusi, penyelesaian kepada setiap masalah yang melanda umat manusia seluruhnya. Dalam bidang ekonomi, Islam melarang urusan yang melibatkan riba, juga menghalang umat Islam terlibat dengan judi dan rasuah, kerana urusan yang mengandungi unsur riba, kegiatan judi dan perbuatan rasuah bersifat menindas dan cenderung kepada kerosakan, bukan sahaja pada diri, keluarga, masyarakat malah negara.

Penganut agama Buddha yang majoriti di kalangan mereka berbangsa Cina sendiri tidak setuju jika judi dikaitkan dengan bangsa Cina, kerana mereka sendiri tidak suka dengan kegiatan tersebut. Maka, jika Islam melarang umatnya berjudi, sememangnya adalah kerana kegiatan judi boleh merosakkan dan menghancurkan.

Ini adalah contoh, betapa Islam sebenarnya datang untuk mentadbir urusan manusia dengan hujah dan pasti dapat diterima oleh akal dan fitrah kejadian manusia.

Dalam isu kebebasan beragama juga, Islam bukanlah agama yang bersifat autokratik ataupun diktator sehingga memaksa penganut agama lain menerima Islam secara paksa. Bahkan, penerapan nilai Islam dan ajarannya juga perlu dilakukan secara beransur-ansur dan dengan penuh hikmah kebijaksanaan. 

Segala titah dan perintah oleh Allah Ta'ala kepada umat Islam wajib dilaksanakan begitu juga segala tegahan dan larangan pula wajib ditinggalkan dengan penuh kesedaran serta didasari hujah yang jelas dan nyata. Dalam Islam, kita dilarang untuk bertaqlid buta, sebagai bukti bahawa Islam sangat mengutamakan Ilmu. Ilmu adalah sumber kepada kepercayaan dan aqidah yang sejahtera.

Kita harus bersikap optimis terhadap kemampuan Islam untuk berhujah atas dasar kebenaran dalam soal kebebasan beragama dengan masyarakat bukan Islam. Dalam masa yang sama, kita tidak boleh memaksa masyarakat bukan Islam, hatta masyarakat Islam sekalipun untuk menerima hujah yang kita kemukakan kerana Islam bukan agama paksaan.

Gejala murtad yang berlaku, tidak akan dapat diselesaikan dengan sekadar menetapkan akta dan peraturan jika perkara asas iaitu pendidikan agama tidak dititikberatkan. Gejala murtad berleluasa bukan kerana kelonggaran dalam akta dan peraturan, tetapi kerana kegagalan fungsi asas pendidikan agama di kalangan umat Islam di Malaysia. Persoalan pendidikan inilah yang perlu diberikan perhatian serius oleh semua pihak.

Jika kita sendiri tidak faham mengenai asas agama, bagaimana kita ingin mempertahankannya? Polemik isu murtad dan kebebasan agama sebenarnya bukan perkara baru, namun seringkali ia dibangkitkan oleh pihak-pihak yang berkepentingan untuk meraih sokongan atau membangkitkan emosi umat Islam. Sudahnya, jadilah kita ibarat menang sorak, kampung digadaikan.

Mohd Farid Bin Hamlud
Parit Care.

Tuesday, October 23, 2012

UMNO Penggalak Aktiviti Menghina Islam.




Islam sebagai agama rasmi Kerajaan Malaysia, tidak seharusnya menjadi sekadar slogan yang dilaung-laungkan. UMNO-BN sebenarnya tidak pernah serius memperjuangkan Islam, sekalipun untuk meletakkannya pada kedudukan agama rasmi Malaysia.

Sikap berdiam diri para pemimpin UMNO-BN terhadap kenyataan biadab Datuk Seri Dr Chua Soi Lek sebenarnya telah dijangka, bahkan mereka sendiri terbukti senada dan selaras dengan ucapan Presiden MCA. UMNO-BN sebenarnya bukan sahaja gagal mendidik parti komponen Barisan Nasional untuk menghormati Islam sebagai agama rasmi, bahkan mereka adalah sebab dan alasan sebenar di sebalik penghinaan dan penolakan masyarakat Malaysia terhadap Islam dan syariatnya. Buktinya, Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak sendiri secara terang-terangan menolak pelaksanaan undang-undang hudud di Malaysia.

Walaupun begitu, kenyataan Dr Chua Soi Lek sebenarnya terlalu biadab, melampau dan sama sekali tidak menghormati sensitiviti umat Islam di Malaysia. Kenyataannya, benar-benar telah mengguris hati rakyat Malaysia yang beragama Islam. Jika masih ada umat Islam yang tidak mempunyai apa-apa perasaan terhadap kenyataan biadab Chua Soi Lek, barangkali mereka sendiri belum benar-benar menerima Islam sebagai cara hidup dan pegangan dalam kehidupan.

Tindakan menghina Islam oleh MCA juga menampakkan bahawa UMNO semakin lemah, khususnya dalam membela nasib umat Islam dan bangsa Melayu. UMNO juga dilihat terdesak mahu menarik sokongan masyarakat bukan Melayu sehingga sanggup menggadaikan prinsip dengan membiarkan agama sendiri dihina.

Islam bukanlah  ajaran rekaan para Nabi dan Rasul, apalagi rekaan Tuan-tuan guru mahupun Ahli Feqah. Sebaliknya Islam adalah agama yang diturunkan oleh Allah kepada para Nabi dan Rasul. Disampaikan dan dikembangkan oleh para Sahabat, sehinggalah ke hari ini. Generasi terdahulu telah bersusah payah menyampaikan Islam, sehingga ianya benar-benar tulen dan tidak diselewengkan. Menentang Islam, bermakna menentang Allah. Menghina Islam, bermakna menghina Allah.

Ini adalah perkara asas yang perlu difahami oleh pemimpin UMNO-BN yang mengaku dirinya beragama Islam, dan mahu memperjuangkan Islam di Malaysia. Sebagai umat Islam, wajib kita membela agama daripada dihina ataupun diselewengkan daripada kefahaman yang sebenar. Semoga Allah memberikan taufiq, hidayah dan inayahNya untuk terus berjuang membela dan menyampaikan Islam dengan kefahaman yang murni, indah dan sejahtera.

Ustaz Muhammad Ismi Mat Taib.
Penolong Setiausaha Dewan Ulama Pas Pusat.

Thursday, September 20, 2012

Khairi perlu muhasabah kenyataan Ngeh Koo Ham.

Sebagai Ketua Pemuda UMNO, Saudara Khairi Jamaluddin seharusnya muhasabah diri dan menerima kenyataan Ngeh Koo Ham dengan jiwa besar. Sebagai sebuah Parti Melayu yang paling utama, malah menjadi penaung kepada parti Kerajaan Barisan Nasional, kenyataan Ngeh Koo Ham sebenarnya ada kewajarannya. 

Sebagai umat Islam, menjadi tanggungjawab kita untuk menyatakan pendirian terutama dalam isu sensitif yang melibatkan peribadi Nabi Muhammad SAW. Sebagai umat Islam kita wajib menyatakan bantahan kita terhadap penghinaan yang dilakukan dan demonstrasi yang bakal dilakukan esok sebenarnya terlalu kecil jika dibandingkan dengan pengorbanan yang telah dilakukan oleh Nabi Muhammad SAW. Bahkan, umat Islam bertanggungjawab membela dan mengorbankan nyawa dan harta sekiranya diperlukan untuk memastikan maruah Islam tidak diperlekehkan oleh musus-musuh Islam. 

Namun begitu, sebagai parti pemerintah, sekadar berdemokrasi sebenarnya tidak memadai buat UMNO kerana mereka sewajarnya mampu untuk berbuat lebih daripada itu. UMNO perlu menunjukkan kewibawaan mereka sebagai parti yang kononnya membela umat Islam dan Melayu di Malaysia.

Ustaz Muhammad Ismi Bin Mat Taib 
Penolong Setiausaha Dewan Ulama’ PAS Pusat.