Friday, December 28, 2012

TPM Biadap dan tidak hormat Demokrasi



Pilihanraya sebenarnya bukanlah hak milik parti Pemerintah sekalipun mereka bertanggungjawab mentadbir dan menguruskan kerajaan. Sebaliknya, pilihanraya adalah hak rakyat, maka menjadi tanggungjawab setiap pentadbir dan pemimpin dalam negara untuk menghormati dan menguruskan hak rakyat dengan sebaik mungkin. 

Tindakan menyembunyikan tarikh pilihanraya itu sendiri sudah dianggap mencabul prinsip demokrasi, apalagi menjadikan ianya sebagai teka-teki. Kenyataan Tan Sri Muhyidin Yasin bahawa tarikh pilihanraya dijadikan mainan dan alat untuk menggembirakan hati adalah satu kenyataan yang sangat biadap dan celupar. Beliau seharusnya sedar bahawa penangguhan tarikh Pilihanraya ini sebenarnya telah menjejaskan aktiviti tahunan rakyat Malaysia. 

Mungkin beliau terlupa bahawa ada yang sanggup menangguhkan ibadah haji, menunda tarikh kenduri, dan pelbagai aktiviti tergendala sepanjang tahun 2012 gara-gara tindakan UMNO-BN yang tidak demokratik kerana menyembunyikan tarikh pilihanraya. Seolah-olah, mereka mempunyai kuasa mutlak dalam mengawal dan menentukan pilihanraya. 

Beliau seharusnya menarik balik kenyataan beliau. Sekalipun UMNO-BN begitu takut untuk menghadapi pilihanraya, menjadikan tarikh pilihanraya sebagai teka-teki dan mempersendakan rakyat dengan menyembunyikan tarikh pilihanraya adalah satu tindkan yang biadap dan amat tidak boleh diterima. 

Ustaz Haji Muhammad Ismi Bin Hj Mat Taib 
Penolong Setiausaha Dewan Ulama’ Pas Malaysia.

Wednesday, November 14, 2012

Polemik Kebebasan Agama, Antara hujah dan perintah.


Isu kebebasan beragama sewajarnya dilihat dalam konteks yang lebih murni dan sejahtera. Sesuai dengan pengertian Islam yang membawa maksud sejahtera, maka segala perselisihan pendapat dan kefahaman mengenainya pasti boleh diselesaikan dengan cara yang murni dan sejahtera. Allah Ta'ala mendidik hambaNya supaya hidup berteraskan Aqidah yang sempurna. Namun, aqidah yang sempurna ini dipupuk berasaskan kepada ilmu, dan sumber utama ilmu di dalam Islam ialah Al-Quran dan As-Sunnah.

Tuntutan "Bacalah" dijadikan perintah pertama oleh Allah Ta'ala kepada Nabi Muhammad SAW sebagai menunjukkan kepentingan ilmu dan menunjukkan Al-Quran sebagai bahan bacaan utama yang perlu dihadam oleh umat Islam. Jelas menunjukkan di sini, bahawa Islam ialah agama yang berteraskan hujah dan keterangan. Islam mementingkan ilmu, maka Al-Quran sebagai sumber utama ilmu dalam Islam dipelihara oleh Allah Ta'ala segala isi kandungannya sehingga ke hari ini.

Kita harus percaya dan yakin, bahawa Islam mempunyai segala solusi, penyelesaian kepada setiap masalah yang melanda umat manusia seluruhnya. Dalam bidang ekonomi, Islam melarang urusan yang melibatkan riba, juga menghalang umat Islam terlibat dengan judi dan rasuah, kerana urusan yang mengandungi unsur riba, kegiatan judi dan perbuatan rasuah bersifat menindas dan cenderung kepada kerosakan, bukan sahaja pada diri, keluarga, masyarakat malah negara.

Penganut agama Buddha yang majoriti di kalangan mereka berbangsa Cina sendiri tidak setuju jika judi dikaitkan dengan bangsa Cina, kerana mereka sendiri tidak suka dengan kegiatan tersebut. Maka, jika Islam melarang umatnya berjudi, sememangnya adalah kerana kegiatan judi boleh merosakkan dan menghancurkan.

Ini adalah contoh, betapa Islam sebenarnya datang untuk mentadbir urusan manusia dengan hujah dan pasti dapat diterima oleh akal dan fitrah kejadian manusia.

Dalam isu kebebasan beragama juga, Islam bukanlah agama yang bersifat autokratik ataupun diktator sehingga memaksa penganut agama lain menerima Islam secara paksa. Bahkan, penerapan nilai Islam dan ajarannya juga perlu dilakukan secara beransur-ansur dan dengan penuh hikmah kebijaksanaan. 

Segala titah dan perintah oleh Allah Ta'ala kepada umat Islam wajib dilaksanakan begitu juga segala tegahan dan larangan pula wajib ditinggalkan dengan penuh kesedaran serta didasari hujah yang jelas dan nyata. Dalam Islam, kita dilarang untuk bertaqlid buta, sebagai bukti bahawa Islam sangat mengutamakan Ilmu. Ilmu adalah sumber kepada kepercayaan dan aqidah yang sejahtera.

Kita harus bersikap optimis terhadap kemampuan Islam untuk berhujah atas dasar kebenaran dalam soal kebebasan beragama dengan masyarakat bukan Islam. Dalam masa yang sama, kita tidak boleh memaksa masyarakat bukan Islam, hatta masyarakat Islam sekalipun untuk menerima hujah yang kita kemukakan kerana Islam bukan agama paksaan.

Gejala murtad yang berlaku, tidak akan dapat diselesaikan dengan sekadar menetapkan akta dan peraturan jika perkara asas iaitu pendidikan agama tidak dititikberatkan. Gejala murtad berleluasa bukan kerana kelonggaran dalam akta dan peraturan, tetapi kerana kegagalan fungsi asas pendidikan agama di kalangan umat Islam di Malaysia. Persoalan pendidikan inilah yang perlu diberikan perhatian serius oleh semua pihak.

Jika kita sendiri tidak faham mengenai asas agama, bagaimana kita ingin mempertahankannya? Polemik isu murtad dan kebebasan agama sebenarnya bukan perkara baru, namun seringkali ia dibangkitkan oleh pihak-pihak yang berkepentingan untuk meraih sokongan atau membangkitkan emosi umat Islam. Sudahnya, jadilah kita ibarat menang sorak, kampung digadaikan.

Mohd Farid Bin Hamlud
Parit Care.

Tuesday, October 23, 2012

UMNO Penggalak Aktiviti Menghina Islam.




Islam sebagai agama rasmi Kerajaan Malaysia, tidak seharusnya menjadi sekadar slogan yang dilaung-laungkan. UMNO-BN sebenarnya tidak pernah serius memperjuangkan Islam, sekalipun untuk meletakkannya pada kedudukan agama rasmi Malaysia.

Sikap berdiam diri para pemimpin UMNO-BN terhadap kenyataan biadab Datuk Seri Dr Chua Soi Lek sebenarnya telah dijangka, bahkan mereka sendiri terbukti senada dan selaras dengan ucapan Presiden MCA. UMNO-BN sebenarnya bukan sahaja gagal mendidik parti komponen Barisan Nasional untuk menghormati Islam sebagai agama rasmi, bahkan mereka adalah sebab dan alasan sebenar di sebalik penghinaan dan penolakan masyarakat Malaysia terhadap Islam dan syariatnya. Buktinya, Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak sendiri secara terang-terangan menolak pelaksanaan undang-undang hudud di Malaysia.

Walaupun begitu, kenyataan Dr Chua Soi Lek sebenarnya terlalu biadab, melampau dan sama sekali tidak menghormati sensitiviti umat Islam di Malaysia. Kenyataannya, benar-benar telah mengguris hati rakyat Malaysia yang beragama Islam. Jika masih ada umat Islam yang tidak mempunyai apa-apa perasaan terhadap kenyataan biadab Chua Soi Lek, barangkali mereka sendiri belum benar-benar menerima Islam sebagai cara hidup dan pegangan dalam kehidupan.

Tindakan menghina Islam oleh MCA juga menampakkan bahawa UMNO semakin lemah, khususnya dalam membela nasib umat Islam dan bangsa Melayu. UMNO juga dilihat terdesak mahu menarik sokongan masyarakat bukan Melayu sehingga sanggup menggadaikan prinsip dengan membiarkan agama sendiri dihina.

Islam bukanlah  ajaran rekaan para Nabi dan Rasul, apalagi rekaan Tuan-tuan guru mahupun Ahli Feqah. Sebaliknya Islam adalah agama yang diturunkan oleh Allah kepada para Nabi dan Rasul. Disampaikan dan dikembangkan oleh para Sahabat, sehinggalah ke hari ini. Generasi terdahulu telah bersusah payah menyampaikan Islam, sehingga ianya benar-benar tulen dan tidak diselewengkan. Menentang Islam, bermakna menentang Allah. Menghina Islam, bermakna menghina Allah.

Ini adalah perkara asas yang perlu difahami oleh pemimpin UMNO-BN yang mengaku dirinya beragama Islam, dan mahu memperjuangkan Islam di Malaysia. Sebagai umat Islam, wajib kita membela agama daripada dihina ataupun diselewengkan daripada kefahaman yang sebenar. Semoga Allah memberikan taufiq, hidayah dan inayahNya untuk terus berjuang membela dan menyampaikan Islam dengan kefahaman yang murni, indah dan sejahtera.

Ustaz Muhammad Ismi Mat Taib.
Penolong Setiausaha Dewan Ulama Pas Pusat.

Thursday, September 20, 2012

Khairi perlu muhasabah kenyataan Ngeh Koo Ham.

Sebagai Ketua Pemuda UMNO, Saudara Khairi Jamaluddin seharusnya muhasabah diri dan menerima kenyataan Ngeh Koo Ham dengan jiwa besar. Sebagai sebuah Parti Melayu yang paling utama, malah menjadi penaung kepada parti Kerajaan Barisan Nasional, kenyataan Ngeh Koo Ham sebenarnya ada kewajarannya. 

Sebagai umat Islam, menjadi tanggungjawab kita untuk menyatakan pendirian terutama dalam isu sensitif yang melibatkan peribadi Nabi Muhammad SAW. Sebagai umat Islam kita wajib menyatakan bantahan kita terhadap penghinaan yang dilakukan dan demonstrasi yang bakal dilakukan esok sebenarnya terlalu kecil jika dibandingkan dengan pengorbanan yang telah dilakukan oleh Nabi Muhammad SAW. Bahkan, umat Islam bertanggungjawab membela dan mengorbankan nyawa dan harta sekiranya diperlukan untuk memastikan maruah Islam tidak diperlekehkan oleh musus-musuh Islam. 

Namun begitu, sebagai parti pemerintah, sekadar berdemokrasi sebenarnya tidak memadai buat UMNO kerana mereka sewajarnya mampu untuk berbuat lebih daripada itu. UMNO perlu menunjukkan kewibawaan mereka sebagai parti yang kononnya membela umat Islam dan Melayu di Malaysia.

Ustaz Muhammad Ismi Bin Mat Taib 
Penolong Setiausaha Dewan Ulama’ PAS Pusat.

Islam dan demokrasi

Perjuangan PAS berteraskan Islam. PAS merupakan sebuah parti yang memperjuangkan Islam menjadi amalan dan teras kepada masyarakat di Malaysia. Menjadikan Islam sebagai teras perjuangan bermakna menjadikan Al-Quran dan As-Sunnah sebagai rujukan utama dalam merancang perjalanan dan menentukan tindakan yang ingin diambil. Ulama’ pula menjadi teraju utama perjuangan PAS kerana merekalah yang lebih hampir kepada Al-Quran dan As-Sunnah, dan merekalah yang selayaknya memimpin sebuah gerakan Islam. 

Islam adalah panduan, Islam juga adalah matlamat dan cita-cita perjuangan PAS. Sepertimana yang disebut oleh Saidina Omar R.A., 

“Kita adalah kaum dimuliakan oleh Allah dengan Islam. Sekiranya kita mencari kemuliaan selain daripada Islam, Allah akan menghinakan kita.”

Islam tidak memerlukan teras tambahan kerana kesempurnaan kandungan yang ada pada Islam. Dibimbangi, tokok tambah yang dibuat, diambil pula daripada sumber yang tidak Islamik, menjejaskan hala tuju perjuangan Islam itu sendiri. Firman Allah Ta’ala di dalam Al-Quran, 

“Pada hari ini Aku(Allah) telah sempurnakan bagi kamu Agama (Deen = cara hidup) kamu, dan Aku cukupkan ke atas kamu nikmat-nikmatKu, dan Aku redha Islam menjadi Agama (Deen = cara hidup) bagi kamu.” (Surah Al-Maidah, 5 : 3) 

 Menjadikan Islam sebagai teras juga membawa makna matlamat utama perjuangan ialah mencari keredhaan Allah. Berjuang bukan kerana jawatan dan kedudukan, sebaliknya berjuang sehingga sanggup berkorban harta dan nyawa semata-mata untuk mencari keredhaan Allah dan meninggikan kalimah Allah yang Maha Tinggi. Misi Islam ialah beramal kerana Allah, Dialah yang lebih layak menjadi tempat rujukan dan menjadi pemutus dalam setiap tindakan hamba-hambaNya. 

Dahulu, Tanah Melayu pernah menjadikan Islam dan segala undang-undang yang terdapat di dalamnya sebagai perlembagaan dan sumber rujukan utama. Namun, pencerobohan dan penjajahan oleh Imperialis barat telah mengganggu-gugat kedudukan Islam sehinggalah pada hari ini, rakyat Malaysia sendiri lupa akan asal-usul juga sejarah yang pernah dilakarkan oleh Ulama’ silam. Imperialis Barat bukan sahaja datang membawa misi untuk menjajah Tanah Melayu, bahkan mereka membawa doktrin dan ideologi yang memisahkan masyarakat, khususnya pentadbiran di Tanah Melayu ini daripada Islam. 

Konsep demokrasi yang diperkenalkan juga merupakan antara doktrin yang Berjaya mereka terapkan di dalam amalan pentadbiran Kerajaan Malaysia. Sungguhpun begitu, PAS menggunakan ruang yang ada untuk terus memastikan agenda Islam dapat diperjuangkan dalam suasana demokrasi. Malah bersama-sama dengan Pakatan Rakyat memastikan keadilan dan demokrasi dapat ditegakkan kembali di Malaysia. Ini kerana, demokrasi selagi tidak melampaui batas, adalah diterima dan boleh menjadi platform yang baik untuk memperjuangkan Islam. Hasilnya, Kerajaan Negeri Kelantan terus aman dan berkembang dan dipimpin dengan Islam menjadi teras utama Kerajaan. 

Demokrasi pula merujuk kepada kuasa rakyat dan penyertaan ramai dalam membuat sesuatu keputusan. Konsep majoriti merupakan asas kepada demokrasi. Dalam konteks Negara Demokrasi, parti yang mendapat lebih banyak undi akan terpilih sebagai Parti Pemerintah. Semua parti politik yang menyertai pilihanraya di Malaysia, menerima hakikat ini. Sekalipun proses demokrasi di Malaysia tidak begitu menjamin hak semua rakyat, khususnya parti politik, kita perlu bersetuju bahawa proses demokrasi ini adalah proses terbaik untuk memastikan keharmonian politik dan sosial di Malaysia. 

Begitupun, Islam tidak boleh disamaertikan dengan proses Demokrasi. Kebenaran Islam tidak bergantung kepada ramainya penyokong. Apalagi hukum-hakam dalam Islam, bukanlah subjek yang boleh dipertimbangkan melalui suara majoriti. Namun, situasi dalam Negara Demokrasi memerlukan sokongan ramai untuk memastikan Islam Berjaya ditegakkan. Maka menjadi tanggungjawab semua umat Islam di Malaysia tidak kira dari parti UMNO Barisan Nasional, lebih-lebih lagi dari Parti PAS untuk memperjuangkan Islam melalui lunas-lunas demokrasi. 

Islam merupakan agama Allah. Ia disampaikan oleh para Nabi dan Rasul, melalui proses yang pelbagai. Namun, ia bukanlah suatu yang boleh dipertimbangkan untuk diterima atau ditolak, sebaliknya menjadi tanggungjawab setiap individu muslim untuk melaksanakan Islam dalam kehidupan. 

PAS sebagai sebuah parti politik mengambil bahagian dalam pilihanraya, sebagai tanda penerimaan dan persetujuan bahawa Malaysia sebuah Negara yang demokratik. PAS juga berkeyakinan penuh bahawa melalui jalan demokrasi ini, PAS mampu mencapai matlamatnya memaknakan kedudukan Islam sebagai agama rasmi Negara. Walaupun bersetuju untuk menyertai proses demokrasi, tetapi PAS perlu kekal sebagai parti Islam yang tulen. Menggabungkan diri dalam perjuangan Islam sahaja sudah cukup indah dan sempurna tanpa menyamakannya dengan mana-mana bentuk ideologi dan pemikiran. 

PAS sebagai sebuah parti politik tidak pernah menjadikan Islam sebagai bahan dagangan politik untuk mendapatkan kuasa, apalagi menjadikan Islam sebagai mangsa demokrasi sehingga isi kandungannya boleh dipisah-pisahkan sesuka hati. Sebaliknya, PAS komited menjadikan Islam sebagai teras perjuangan dan menjadikan Malaysia ini Negara yang berkebajikan adalah selaras dengan misi ini. 

Bahkan Allah Ta’ala melantik seluruh umat manusia, tidak terkecuali walau seorangpun, sebagai khalifah yang menjadi wakil pemerintahan di muka bumi. Bermakna, manusia seluruhnya memikul tanggungjawab untuk memakmurkan dan memelihara dunia ini dengan penuh keharmonian dan keadilan.

Friday, September 7, 2012

UMNO musuh Agama, Bangsa dan Negara.

Umum mengetahui kebobrokan UMNO-BN dan tindakan jahat yang mereka lakukan ke atas kepentingan orang Melayu, Agama Islam, malah institusi DIRaja. Namun, UMNO sebenarnya lebih teruk daripada itu, mereka sedang menjerumuskan Negara ke lembah kebinasaan.

Tidakkah kita tertanya, mengapa golongan cerdik pandai, dan mereka yang duduk di kawasan Bandar, dan kawasan-kawasan yang membangun, kebanyakannya memilih Pakatan Rakyat? 11 daripada 14 ibu kota negeri-negeri yang ada di Malaysia, dimenangi oleh Pakatan Rakyat dalam PRU-12. Keputusan ini sebenarnya mengundang pelbagai tafsiran. Paling menggambarkan situasi pengundi di Ibu Kota ialah mereka yang memiliki akses terhadap maklumat.

Pengundi di kawasan Bandar dan kawasan-kawasan yang pesat membangun mempunyai alternative yang luas terhadap maklumat. Mereka tidak mudah diperbodohkan oleh media berat sebelah oleh pembangkang mahupun kerajaan. Dalam era teknologi maklumat yang pesat membangun, rakyat terdedah kepada maklumat yang benar dan banyak.
Jika dahulu, mungkin tidak ramai yang tahu fungsi Jabatan Audit Negara, maka tidak ramai yang memberikan tumpuan terhadapnya. Kini, Jabatan Audit Negara menjadi antara senjata utama yan digunakan untuk menghukum pihak yang menyalahgunakan kuasa dan kepentingan.

Mungkin UMNO-BN sudah lupa mengenai bagaimanakah yang dikatakan dengan Urustadbir Negara yang berkesan. Mereka kini lebih kerap menggunakan media untuk mengaburi mata rakyat, namun mereka lupa bahawa rakyat mempunyai “telinga” dan “mata” yang tersendiri untuk melihat dan mendengar apakah sebenarnya yang telah, sedang dan apa pula yang sepatutnya terjadi.

Urustadbir kerajaan di bawah kepimpinan Melayu UMNO-BN sangat lemah kerana mereka tidak pernah belajar dari kesilapan. Bukankah cendekiawan pernah mengingatkan, kita tidak boleh mengharapkan hasil yang berbeza untuk usaha yang sama. Begitulah UMNO-BN, masih dengan taktik lapuk dan kunonya, kononnya cuba membutakan dan memekakkan rakyat.

Rakyat tidak mudah tertipu dengan sogokan RM500, sedangkan mereka sedar bahwa mereka sedang menanggung ribuan hutang yang disebabkan oleh kegagalan urustadbir Negara. Rakyat tidak mudah dikaburkan dengan keenakan slogan Transformasi, ketika kezaliman jentera penguatkuasa kerajaan begitu jelas terasa dan kelihatan.

Bagaimanakah rakyat ingin berasa selesa berada di sebuah Negara yang sama sekali tidak mendaulatkan undang-undang, apabila undang-undang hanya berkesan terhadap rakyat dan dolongan bawahan, tetapi tidak lut kepada pimpinan atasan. Rakyat masih menunggu jawapan daripada pembanteras jenayah rasuah Negara terhadap isu National FeedLot yang menelan RM250juta duit mereka. Dimanakah nilai kedaulatan undang-undang di sisi pemimpin UMNO-BN?

Ketika ratusan ribu berhimpun di ibu kota, untuk kali ke-tiga, menyatakan pandangan dan memohon supaya diadakan pilihanraya yang adil dan bersih, ke manakah telinga pemimpin UMNO-BN yang sepatutnya menjadi tempat luahan hati rakyat? Apakah ratusan ribu yang berhimpun itu bukan rakyat Malaysia, atau telinga UMNO-BN hanya untuk Melayu, atau mungkin UMNO-BN telah dipekakkan oleh laungan transformasi yang mereka bangga-banggakan?

JIka UMNO-BN sudah tidak mempunyai ingatan yan baik, eloklah saya ingatkan, bahawa tadbir urus yang baik mempunyai 8 ciri-ciri utama. Ia adalah penyertaan, berorientasikan konsensus, bertanggungjawab, telus, responsif, berkesan dan cekap, saksama dan inklusif serta mematuhi kedaulatan undang-undang. Ia menjamin bahawa rasuah diminimakan, pandangan kaum minoriti diambil kira dan bahawa suara-suara yang paling lemah dalam masyarakat didengar dalam membuat keputusan. Ia juga responsif kepada keperluan masa kini dan masa depan masyarakat.

Melihat kepada ciri-ciri urus tadbir yang baik, tiada satu pun yang boleh dicontohi daripada kepimpinan UMNO-BN. Semuanya adalah slogan-slogan sumbang, yang rupanya tidak seindah apa yang dikhabarkan.

Justeru, pandangan yang dilontarkan oleh Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang, Presiden PAS, terhadap orang Melayu wajar disambut dengan baik oleh kesemua rakyat Malaysia. Orang Melayu menjadi sasaran utama terhadap seruan perubahan ketika ini, kerana malang sekali, UMNO masih bebas melakukan kerosakan kerana “keris melayu” masih memberikan sokongan.